
Bursa Malaysia akhirnya mengenakan denda RM2 juta ke atas Fitters Diversified Bhd serta lima orang pengarahnya kerana gagal mematuhi keperluan penyenaraian Pasaran Utama. Tetapi persoalan besar yang timbul: mengapa tindakan ini hanya diambil lebih dua tahun selepas manipulasi saham secara terang-terangan didedahkan kepada umum?
Rangkaian Mafia Korporat Jacky Phang
Fitters Diversified Bhd bukanlah nama asing dalam radar pasaran modal tempatan. Ia merupakan salah satu daripada tiga syarikat yang dikuasai oleh Datuk Jacky Phang Chow Huat, tokoh yang digelar “mafia korporat” selepas pendedahan pada 2023. Dua syarikat lain ialah Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan BSL Corporation Berhad (BSL Corp).


Melalui rangkaian ini, Jacky Phang menjalankan siri transaksi silang – pembelian dan penjualan saham antara syarikat miliknya sendiri. Persoalan asas yang membara sejak awal: mengapa Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) membenarkan transaksi yang jelas berunsur “insider trading” ini berlaku tanpa halangan?
Skandal EV CFM – Satu Projek Scam
Episod paling mencuri perhatian ialah apabila CFM menjunam lebih 80% selepas pengumuman pelaburan pelabur Thailand untuk usaha sama pengeluaran kenderaan elektrik (EV) yang akhirnya terbukti sekadar projek scam.
Rekod Bursa menunjukkan Jacky Phang telah membeli saham CFM seawal September 2022 sebelum melupuskannya pada Mac 2023 – tepat ketika harga saham berada di paras tinggi, sekali gus menyebabkan pelabur runcit dan asing menanggung kerugian besar.

Lebih parah, tindakan Fitters Diversified dan CFM membeli saham BSL Corp hanya menambah tekanan, sehingga CFM gagal memanfaatkan kenaikan harga sahamnya untuk membiayai pelaburan EV tersebut.

Fitters Diversified – Siapa di Sebalik Tabir?
Individu terbesar dalam Fitters ialah Jacky Phang Chow Huat dengan pegangan 48 juta saham (7.9%) ketika itu. Lembaga pengarah pula didominasi individu yang dianggap “budak Jacky Phang”:
Dato’ Sok One A/L Esen – Pengerusi Bukan Eksekutif, bekas pegawai kanan SPRM
i. Hoo Swee Guan
ii. Dato’ Sri Gan Chow Tee
iii. Wong Kok Seong
iv. Kho See Yiing
v. Tan Li Sin

Hakikatnya, setiap keputusan jual beli saham Fitters adalah kuasa mutlak Jacky Phang. Tambahan pula, Dato’ Sok One – yang turut dikaitkan dengan MMAG Holdings Berhad – sebuah syarikat mafia korporat yang dikaitkan dengan Victor Chin Boon Long yang dulu satu ketika diburu PDRM.
Pelanggaran & Denda Bursa
Bursa Malaysia dalam kenyataannya menegaskan Fitters Diversified gagal membuat pengumuman segera pada 7 dan 8 Mac 2023 berhubung pengambilalihan 12.14 juta saham biasa CFM bernilai RM26.44 juta serta 6.18 juta unit Waran A bernilai RM8.33 juta.
Pengumuman yang hanya dibuat pada 9 Mac 2023 pula didapati tidak tepat, palsu dan mengelirukan – khususnya kenyataan bahawa pengambilalihan tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.
Atas pelanggaran ini, lima pengarah Fitters – Datuk Sok One Esen, Hoo Swee Guan, Datuk Seri Gan Chow Tee, Wong Kok Seong dan Kho See Yiing – dikenakan penalti RM400,000 setiap seorang.
Persoalan Besar: SC & Bursa Lembab dan Tak Kompeten?
Kenyataan Bursa menyebut keperluan membuat pengumuman segera adalah asas penting dalam melindungi pelabur. Namun realitinya, penyelewengan ini telah disorot media sejak awal 2023. Mengapa perlu menunggu lebih dua tahun untuk tindakan dikenakan?

Lebih menghairankan, aktiviti luar biasa (UMA) pada 8 Mac 2023 telah pun jelas menunjukkan manipulasi saham. Tetapi jawapan syarikat – “tidak mengetahui” sebarang perkembangan – dibiarkan begitu sahaja tanpa tindakan segera.
Kelewatan ini menimbulkan persoalan serius:
Adakah SC dan Bursa gagal menjalankan tugas pengawasan pasaran modal?
Atau wujud “perlindungan” politik dan institusi terhadap rangkaian mafia korporat Jacky Phang?
Kesimpulan
Walaupun denda RM2 juta kelihatan besar, ia hanyalah “cukai operasi” kecil bagi mafia korporat yang sudah mengaut keuntungan berlipat kali ganda melalui manipulasi saham. Pelabur runcit dan asing pula terus menjadi mangsa.
Lebih penting, reputasi pasaran modal Malaysia kini kembali tercalar kerana kelewatan dan ketidakcekapan penguatkuasaan. Tanpa reformasi serius, nama Bursa Malaysia akan terus sinonim dengan pasaran yang mudah dimanipulasi oleh segelintir pemain berkuasa.