
Konflik korporat antara Tan Sri Shahril Shamsuddin dan Dato’ Shahriman Shamsuddin, kini semakin hangat apabila petisyen pembubaran Sapura Holdings Sdn Bhd yang difailkan oleh Dato’ Shahriman didakwa bukan semata-mata perbezaan pandangan korporat — sebaliknya didorong oleh pengaruh luar yang mempunyai agenda tersembunyi.
Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi baru-baru ini, pelbagai kenyataan dan pengakuan menunjukkan tindakan Dato’ Shahriman bercelaru dan tidak konsisten. Beliau menentang penggunaan aset Sapura@Mines sebagai cagaran untuk Projek Permata Sapura (Project Apex), namun dalam masa yang sama bersetuju aset itu diguna untuk projek lain yang juga berisiko.
Lebih menghairankan, beliau mengaku di mahkamah bahawa beliau secara sengaja tidak mengambil sebarang tindakan untuk melaksanakan cadangan terbitan hak (rights issue) bernilai RM40 juta — satu langkah penyelamatan yang dicadangkan oleh Sapura Holdings bagi membantu Sapura Resources Berhad (SRB) menyelesaikan krisis kewangannya.
Hakikat bahawa Dato’ Shahriman hadir dalam mesyuarat lembaga pengarah tetapi tidak bertindak, malah memberikan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan, menimbulkan persoalan besar: Adakah beliau beroperasi atas pertimbangan sendiri, atau menjadi boneka kepada penasihat-penasihat peribadinya?
Dalang penasihat bodohkan Shahriman
Tiga individu utama dilihat amat rapat dan berpengaruh ke atas Shahriman:
1. Syed Haroon bin Omar Alshatrie – Ketua Bahagian Hartanah di Sapura Resources Berhad. Bertanggungjawab ke atas pembangunan portfolio hartanah termasuk Permata Sapura. Individu yang dipercayai paling berpengaruh dalam keputusan-keputusan besar Shahriman.

2. Syed Muhammad bin Hasan Alsagoff – Bekas Ketua Operasi SRB. Pernah berkhidmat di Sapura Secured Technologies dan GE Oil & Gas.

3. Mariam Parineh – Pemegang saham Sapura Industrial Bhd dan isteri muda kepada ayah Shahriman, menjadikan beliau ibu tiri Dato’ Shahriman. Beliau dipercayai mempunyai kepentingan strategik dalam menguasai Sapura melalui anak tirinya.

Pendedahan sebelum ini menunjukkan Syed Haroon bukan sekadar eksekutif biasa — beliau telah bertahun-tahun menjadi penasihat tidak rasmi kepada Shahriman. Dialah yang dipercayai mendorong keputusan menolak pelaburan dalam Projek Apex serta mendorong perjanjian kontroversi antara syarikat milik Shahriman, Explorer Group Sdn Bhd dan syarikat jet peribadi RoyalJet.

Explorer Group, RoyalJet dan Skandal Salah Guna Kuasa
Isu terbesar yang menghantui Shahriman bukan sekadar penolakan rights issue atau kekeliruan korporat — tetapi skandal perjanjian antara Explorer Group dan RoyalJet yang menjadi bukti salah guna kedudukan dan konflik kepentingan oleh beliau ketika masih memegang jawatan dalam Sapura Resources Berhad.


Namun, menurut sumber rapat, Dato’ Shahriman secara strategik mengalihkan fokus kepada isu Permata Sapura semata-mata — cuba menutup jejak Explorer Group.
Dalang besar!
Maklumat dalaman menunjukkan bahawa Mariam Parineh berada di belakang tindakan Shahriman, memandangkan kepentingannya untuk melihat Sapura Holdings dikuasai oleh pihaknya demi kepentingan anak sendiri. Membaca asal usul keturunan Mariam sebagai keturunan SAVAK sangat mengejutkan. Tidak menghairankan mereka dia nekad menghasut Shahriman
Kini timbul persoalan lebih besar, Adakah Dato’ Shahriman benar-benar bertindak demi integriti korporat, atau beliau hanya menjadi alat kepada permainan kuasa luar yang ingin memecah dan merampas aset milik Sapura Holdings?
Tan Sri Shahril Shamsuddin bersama Sapura Holdings dan Datuk Rameli Musa telah mengemukakan jawapan balas dalam petisyen tersebut, menyatakan bahawa permohonan Dato’ Shahriman adalah tidak wajar dan tidak adil, serta berpotensi menggugat kelangsungan operasi lebih 40 anak syarikat Sapura Holdings.

Nilai keseluruhan kumpulan kini dianggarkan sekitar RM832 juta, satu jumlah yang dipercayai menjadi punca sebenar perebutan kuasa ini.
Mahkamah akan bersambung pada 24 Julai dengan Dato’ Shahriman masih memberi keterangan di kandang saksi. Kini tumpuan utama ialah sama ada mahkamah akan melihat tindakannya sebagai bersandarkan prinsip – atau sebenarnya digerakkan oleh tangan-tangan tersembunyi yang licik.