
Muncul sebagai pemegang saham utama, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif NexG Bhd berkuat kuasa 28 Mac 2025.
“Saya percaya pengalaman saya dalam sektor awam serta penglibatan dalam inisiatif pembangunan negara akan memberi nilai tambah kepada pelan transformasi NexG.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Hanifah Noordin, serta seluruh pasukan NexG untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan kejayaan kumpulan di pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Tan Sri Khairul Adib merupakan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan Ketua Pengarah Perkhidmata Awam mempunyai pengalaman luas dalam sektor awam.
Beliau kini merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Westports Holdings Berhad dan sebelum ini pernah menganggotai Lembaga Pengarah Malaysia Airports Holdings Berhad. Beliau dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif NexG pada 22 November 2024 sebelum menjadi pemegang saham terbesar NexG.
Sementara itu, Hanifah berkata, sejak dilantik Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Mohd Khairul Adib telah membawa pandangan dan kepakaran yang amat bernilai kepada lembaga pengarah dan keputusan beliau untuk menjadi pemegang saham utama NexG mencerminkan keyakinannya terhadap visi dan strategi syarikat.
“Sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif, kepimpinan Tan Sri Mohd Khairul Adib akan menjadi pemacu utama dalam pelan transformasi NexG untuk muncul sebagai peneraju dalam pasaran identiti fizikal dan digital, sekali gus menyumbang kepada transformasi digital negara. Kami teruja untuk bekerjasama merealisasikan visi ini,” katanya.