Konglomerat pelaburan global, Bin Zayed International Group of Companies (BZI) telah komited untuk melabur AS$2 bilion di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Bhd, Datuk Seri Dr Shamir Kumar Nandy berkata sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan strategiknya, kumpulan itu akan memanfaatkan hartanah, tenaga boleh baharu dan perkhidmatan kewangan untuk menarik pelaburan ke Malaysia.
“Terdapat banyak potensi dalam sektor tersebut di Asia Tenggara. Ini adalah sektor yang kita lihat dan AS$2 bilion hanyalah penanda aras awal. Ia mungkin lebih daripada itu apabila peluang itu muncul,” katanya selepas majlis perasmian pejabat Malaysia kumpulan itu di Tun Razak Exchange.
Bin Zayed International Group tarik diri projek Langkasuka di Langkawi miik Widad
Dalam pada itu Pengarah Urusan Kumpulan BZI, Sheikh Midhat Kidwai, berkata syarikat BZI tidak lagi terbabit dengan projek ‘The Langkasuka’ di Langkawi.
Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Bhd, Datuk Seri Dr Shamir Kumar Nandy mengesahkan menarik diri projek Langkasuka di Langkawi, Kedah itu.
“Kami tidak lagi terlibat dengan projek Langkasuka. Sejak 2022, kami memutuskan untuk menarik diri dan memberi tumpuan kepada peluang yang lebih baik, realistik dan potensi lebih besar,” katanya.
Pada 2021, Widad Business Group Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik dengan BZI untuk membantu membangunkan pembangunan bercampur RM40 bilion yang dikenali sebagai Widad@Langkasuka di Langkawi.
Langkasuka, Langkawi adalah projek pembangunan bercampur di tapak seluas 2,000 ekar pulau buatan dan akan dibangunkan dalam dua fasa dalam tempoh 15 tahun.
Fasa pertama akan terdiri daripada padang golf bertaraf antarabangsa dan sedia kejohanan di tepi laut, vila dan rumah peranginan dengan unsur seni bina Melayu yang diberikan dengan pemandangan panorama padang golf dan matahari terbenam Langkawi.
Dari segi runcit, juga akan terdapat pusat beli-belah dengan nama Designers’ Brand Mall, bazar beli-belah dikenali sebagai The Langkasuka Village, hotel lima bintang dengan pemandangan laut menghadap Laut Andaman serta kondominium mewah dengan pemandangan hadapan laut.
Selain hartanah, Bin Zayed International telah mengenal pasti syarikat dalam sektor tenaga baharu untuk menyokong rancangan pengembangannya di Malaysia.
“Kami telah mengenal pasti syarikat tertentu dan sedang berunding dengan mereka untuk melihat keperluan mereka dalam menjadikan mereka pemain global secepat mungkin,” kata Shamir.
Mengapa Bin Zayed International Group tarik diri? tentunya dipengaruhi oleh kedudukan Widad Group yang rugi dan terlalu pro kepada MB Kedah Sanusi yang tidak sebulu dengan Kerajaan Madani.
Widad Group rugi besar
Projek Langkasuka Widad telah terlewat kerana masalah kewangan Widad Group. Januari tahun ini syarikat keluarga Yu, YNH Property Bhd, Rapid Synergy Bhd dan Widad Group Bhd milik Tan Sri Ikmal Opat Abdullah (30.11%) mengalami kejatuhan lebih 60 peratus sejak 18 januari 2024 dengan kerugian di atas kertas untuk Ikmal Opat sekitar hampir RM300 juta.
Kejatuhan saham syarikat mereka mencetuskan kesan domino Bursa Malaysia, RM7.1 bilion permodalan saham lesap pada bulan itu.
Sebelum itu tahun 2023 syarikat Dataprep Holdings Bhd yang dikuasai Tan Sri Ikmal Opat Abdullah turut mengalami kerugian teruk selain Bursa Malaysia Securities telah menegur Dataprep Holdings Bhd dan lima pengarahnya secara terbuka kerana melanggar syarat penyenaraian berhubung jawapan syarikat IT itu kepada pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) mengenai kontrak saringan Covid-19 pada Mac 2021 .
Dengan kerugian ratusan juta saham Widad dan Dataprep pada April 2024, Tan Sri Ikmal Opat Abdullah terpaksa melupuskan pegangan saham utama Dataprep dan kini hanya menguasai 3.79 peratus. Harga transaksi ketika tidak didedahkan namun berdasarkan harga penutup Dataprep pada 13.5 sen pada 22 April, blok saham itu bernilai kira-kira RM2.18 juta.
Bagi pendapatan Widad Group Berhad mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM24.89 juta untuk tahun kewangan terkini, hasil daripada penurunan projek dan cabaran dalam mendapatkan kelulusan reka bentuk serta permit kerja di beberapa kawasan. Hasil syarikat tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan pentadbiran, menyebabkan kerugian operasi secara keseluruhan.
Kerugian ini juga merupakan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya, di mana kerugian bersih adalah RM16.63 juta, mencerminkan cabaran yang berterusan dalam pasaran pembinaan dan pengurusan fasiliti mereka.
Skandal kerugian saham HDR Corp dengan Widad Group
Lebih satu pertiga kerugian pelaburan RM49.38 juta yang dilaporkan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) setakat Jun 2023 datang daripada pelaburan saham 62 sen dalam Widad Group Bhd, yang kini diniagakan pada 0.05 sen sesaham.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN 2/2024) menemukan banyak skandal CEO HRD Corp dari isu rasuah, kerugian hinggalah pelaburan salah HRD Corp dengan dalam saham Widad. Dilaporkan kerugian atas kertas sebanyak RM18.52 juta daripada pelaburannya dalam syarikat pembinaan Widad, yang dibelinya pada 2020 melalui perjanjian opsyen jual dan beli (PCOA). Sehingga April 2024, HRD Corp memegang 3.12 peratus dalam Widad.
Di bawah PCOA, HRD Corp mempunyai hak untuk membeli dan menjual saham Widad pada harga tertentu dalam tempoh tertentu. Namun semuanya atas kawtim CEO HRD Corp dengan pemilik Widad, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah maka tiada dividen dibayar serta meneruskan pelaburan walau rugi dikekalkan.
Selain HRD Corp, banyak projek Widad Group gagal di Kedah termasuk Projek Langkasuka yang menyebabkan pelabur besar seperti Bin Zayed International Group of Companies menarik diri bekerjasama dengan Widad. Projek loji air dan banyak lagi. Widad kini diambang melingkup dan amat sukar bangun semula jika tiada pelabur luar menyokongnya.
MP Sungai Petani persoal Sanusi MB Kedah – Pelabur tarik diri
Susulan pengumuman itu Ketua Pemuda PKR Kedah yang juga MP Sungai Petani Dr Taufiq Johari mempersoalkan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor tampil menjelaskan sebab konglomerat Bin Zayed International yang berpangkalan di Dubai menarik diri daripada cadangan projek tebus guna tanah Langkasuka di Langkawi bernilai RM40 bilion itu.
Taufiq berkata, projek yang dijanjikan sebagai pemangkin kemajuan Langkawi itu kini berpotensi terbengkalai akibat kelemahan kepimpinan kerajaan negeri.
“Menteri besar Kedah tidak boleh sekadar menuding jari kepada pihak lain apabila pelabur antarabangsa menarik diri. Kegagalan ini adalah hasil langsung daripada kurangnya perancangan strategik dan dasar yang lemah.