
KUALA LUMPUR: Pertelagahan terbuka antara PAS dan Bersatu mengenai siapa sebenarnya menanggung kos kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali lagi mendedahkan persoalan lebih besar: sejauh mana kemenangan besar PN disokong dana politik yang meragukan.
Bekas ketua setiausaha sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, mendakwa semua kos pilihan raya PN ditanggung Bersatu, termasuk sumbangan kewangan besar kepada PAS.
“Pada PRU15, PAS tidak berdepan masalah dana kerana segala peralatan berlogo PN disediakan Bersatu. Hasilnya PAS menang 43 kerusi Parlimen, pencapaian terbesar dalam sejarah mereka,” katanya di Facebook.
Namun kenyataan itu segera dibidas Menteri Besar Kedah merangkap ketua pengarah pilihan raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang mempertikaikan sama ada benar wang berkenaan sampai ke PAS.
“Tanya dia, dia bagi kat siapa duit tu?” kata Sanusi ringkas, sambil menegaskan PAS menanggung kos sendiri, termasuk mengenakan caj RM1,200 bagi setiap unit peti undi (UPU) kepada parti rakan dalam PN.
Sanusi sebelum ini menyindir Bersatu sebagai parti yang mahu jadi ketua tetapi “duit tak ada, jentera pun tak ada”.
Dinamika kuasa dalam PN
Pertelingkahan ini menyingkap realiti dalaman PN selepas PRU15: PAS muncul lebih dominan dengan 43 kerusi Parlimen, jauh mengatasi Bersatu. Kedudukan itu menjadikan PAS lebih yakin menguasai hala tuju PN, sekali gus mencetuskan ketegangan terselindung dengan rakan gabungan.
Bayangan kes rasuah Muhyiddin
Dakwaan Marzuki juga mengingatkan semula kepada kes mahkamah melibatkan presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dituduh menerima dana politik ratusan juta ringgit daripada taikun perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Hakikat bahawa Bersatu mampu menyalurkan dana besar kepada kempen PN, jika benar, menimbulkan tanda tanya mengenai sumber sebenar wang tersebut.
PAS, yang sebelum ini sinonim dengan imej “parti tin Milo” bergantung pada derma rakyat, tiba-tiba memiliki kekuatan kewangan luar biasa sepanjang PRU15 — sesuatu yang pengkritik kaitkan dengan “duit projek” hasil perkongsian kuasa bersama Bersatu.
Kos sebenar pilihan raya
Marzuki sendiri mengakui kos pilihan raya mencecah angka besar. Menurutnya, RM1 juta untuk satu kerusi Parlimen adalah minimum, meliputi bendera, poster, billboard, latihan jentera, elaun PACA, hingga kos logistik pengangkutan pengundi di kawasan besar seperti Sabah dan Sarawak.
“Ini semua bukan percuma. Tidak kira parti mana sekalipun, inilah kos yang perlu ditanggung,” katanya.
Namun kenyataan bercanggah antara Sanusi dan Marzuki kini hanya menguatkan persepsi bahawa kejayaan besar PN pada PRU15 datang dengan harga tinggi — bukan sekadar dari segi politik, tetapi juga soal integriti sumber kewangan.