
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil seramai 61 saksi setakat ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana sukuk melibatkan projek penyambungan Lebuhraya Maju Expressway 2 (MEX II).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan kini berada pada fasa akhir dengan jangkaan kertas siasatan akan disiapkan dalam tempoh maksimum dua bulan.
“Saya beri tempoh maksimum dua bulan kepada pegawai saya untuk siapkan kertas siasatan ini. Tapi saya percaya mungkin tidak sampai dua bulan pun,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu, hari ini.
Kes berprofil tinggi itu menarik perhatian umum selepas SPRM pada 29 Mei lalu mengumumkan rampasan aset bernilai lebih RM72 juta, dipercayai berkaitan penyalahgunaan dana sukuk projek lebuh raya tersebut.
Antara yang dirampas ialah;

SPRM telah menyoal siasat Tan Sri Abu Juling yang dikenal pasti sebagai suspek utama. Individu itu disiasat atas dakwaan membuat tuntutan palsu dan menyalahgunakan dana bon sukuk bagi projek tersebut.
Dilaporkan sebelum ini ratusan juta ringgit hasil terbitan sukuk disyaki telah dialihkan ke akaun sebuah syarikat milik peribadi Tan Sri Abu Juling sebelum digunakan untuk pembelian harta mewah dan aktiviti perjudian, termasuk disalurkan ke akaun keluarga serta syarikat proksi.
Projek MEX II sepanjang 18 kilometer, yang bertujuan menghubungkan Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dimulakan pada 2016 dan sepatutnya siap pada Disember 2019. Namun, sehingga kini ia masih tertangguh.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dalam kenyataan bulan lalu berkata kerajaan sedang mencari jalan penyelesaian bersama pihak berkepentingan susulan masalah kewangan yang membelenggu projek tersebut.