YTL Power International Bhd dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia menjelaskan pihaknya telah diberikan projek 1Bestarinet melalui proses tender terbuka, dan menepis tuduhan salah laku.
Syarikat utiliti elektrik itu memaklumkan tender tersebut diberikan apabila bidaan pihaknya adalah yang paling mematuhi teknikal dan efektif dari segi kos berbanding kalangan 18 pembida, menunjukkan keupayaan dan merit syarikat.
“Tuduhan salah laku yang membawa kepada siasatan ini adalah sangat serius dan berisiko menjejaskan reputasi kami
“Kami ingin menjelaskan kami telah melaksanakan kewajipan kontrak kami terhadap kerajaan dengan tekun dan dedikasi sejak projek itu dimulakan.
“Sepanjang pengetahuan kami, kami tidak melanggar mana-mana terma kontrak atau melanggar mana-mana undang-undang,” jelasnya
Selama ini YTL berdiam diri memberikan kerjasama kepada SPRM. Bagaimanapun serangan pihak tertentu memberikan persepsi negatif sesuatu yang tidak bertanggungjawab.
“Kami mengalami persepsi negatif yang ketara daripada pihak awam akibat tuduhan salah laku oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Situasi ini tidak adil, terutamanya kerana ia menjejaskan keupayaan kami untuk mempertahankan diri terhadap naratif yang berleluasa.
“Bagi melindungi reputasi dan kedudukan undang-undang kami, kami mendapatkan nasihat undang-undang mengenai langkah-langkah yang berpotensi terhadap pihak-pihak yang menyebarkan tuduhan fitnah ini. Katanya lagi.
YTL Power menjelaskan anak syarikat 60 peratus miliknya, YTL Communications Sdn Bhd akan terus memberikan kerjasama penuh kepada SPRM yang menjalankan siasatan berkaitan perkara itu.
Reaksi SPRM
Susulan kenyataan YTL itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertimbangkan pembelaan yang dikemukakan oleh YTL dan berkata pihaknya menjalankan siasatan secara profesional berhubung pemberian tender bernilai RM4 bilion kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) bagi memastikan keadilan kepada semua pihak yang terbabit.
Tan Sri Azam Baki juga menggesa semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung siasatannya terhadap perkhidmatan 1BestariNet bawah Kementerian Pendidikan (KPM) itu dan memberi jaminan bahawa SPRM akan berusaha mempercepatkan siasatan sebaik mungkin.
SPRM wajar menyelesaikan kes dan mengumumkan segera siasatan memandangkan YTL sebuah syarikat tersenarai awam boleh terjejas dengan spekulasi tidak tepat. Kes lebih 10 tahun ini tidak wajar diheret oleh pihak tertentu kerana semua kontraknya sudah dilaksanakan.YTL hanya tidak disambung kontrak selepas tamat bukan ditamatkan. Ia berikutan terma tertentu dalam perjanjian yang tidak dapat diputuskan bersama.
1BestariNet: Dendam Dr Maszlee Malik kepada Muhyiddin dan YTL
9 September lalu disebalik dakwaan terhadap YTL muncul semula Dr Maszlee Malik bekas Menteri Pendidikan isu 1BestariNet kononnya menjadi faktor membawa kepada peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan pada Januari 2020.
Siapa motif dan dalang di belakang kes 1BestariNet dibangkitkan semula? Tiba-tiba Dr Maszlee muncul semula seperti mana selepas di pecat tahun 2020 dan pelancaran bukunya ‘Memori Bukan Memoir ‘ tahun 2021 yang juga menyentuh mengenai 1BestariNet.
Hanya kerana dendamnya terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pemecatannya oleh Tun Dr Mahathir dikaitkan dengan penamatan kontrak terhadap YTL walaupun beliau mengaku isu 1BestariNet bukan satu-satunya penyebab beliau dipecat atau diarah meletak jawatan. Jelas ini hanya masalah peribadi antara Dr Maszlee dengan Tan Sri Muhyiddin!
Apa yang jelas kronologi kontrak projek 1BestariNet tidak pernah ditandatangani oleh Dr Maszlee Malik ketika sebagai Menteri Pendidikan. Fasa 1 di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Fasa 2 ogos 2016 di bawah Datuk Seri Mahdzir Khaled.
Kronologi peristiwa adalah seperti berikut:
TARIKH | BUTIRAN |
Mei 2011 | Kementerian Pendidikan (MOE) mengeluarkan tender untuk Projek 1Bestarinet. |
November 2011 | YTL Communications dianugerahkan tender menewaskan 18 pembida lain kerana memenuhi aspek teknikal yang tertinggi serta tawaran yang paling berkesan dari segi kos. |
Mei 2012 13 Dis 2011 – 12 Jun 2014 | Menandatangani kontrak untuk Fasa I projek. Kontrak bernilai RM 1.1 bilion |
13 Jun 2014 – 30 Jun 2016 | Fasa 1 interim – Kontrak bernilai RM 468 juta |
Ogos 2016 | Menandatangani kontrak untuk Fasa II projek. Fasa 2, bermula dari 1 Jul 2016 sehingga 30 Jun 2019 yang melibatkan kontrak RM 1.55 bilion |
Jun 2019 | Fasa II projek berjaya disiapkan dan disahkan oleh MOE. |
Semua urusan teknikal tender diuruskan jawatankuasa tender Kementerian diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan. Bukan Menteri KPM. Menteri KPM hanya menandatangani kontrak atau menurunkan kuasa kepada KSU atau pegawai yang diberikuasa olehnya. Ini jelas dalam Akta Kontrak 1949 ( Pindaan 1973) iaitu “memberi kuasa kepada Menteri-menteri berkenaan bagi Kementerian-kementerian menandatangani kontrak dan juga memberi kuasa kepada Menteri-menteri berkenaan menurunkan kuasa kepada Pegawai Kerajaan untuk menandatangani kontrak bagi pihak Kerajaan”
Dalam kes Tan Sri Muhyiddin sebagai Menteri KPM beliau hanya memberi kuasa kepada KSU Kementerian dalam nilai RM100 juta.
Ini bermakna kontrak 1bestariNet ditandatangani oleh Tan Sri Muhyiddin ketika itu walaupun kosnya diperakui Jawatankuasa Perolehan (MOF) yang dipengerusinya oleh Menteri Kewangan -Datuk Seri Najib Tun Razak. Semua teknikal tender dan perakuan Lembaga Perolehan A ketika itu diputuskan oleh KPM. MOF hanya memperakukan keputusan Lembaga Perolehan KPM sebab melibatkan kos berbilion ringgit melebihi had diputuskan Kementerian Pendidikan.
Kontrak 1BestariNet mencakupi tiga komponen utama:
1) Pelantar Pembelajaran Maya (Virtual Learning Environment berjenama Frog);
2) Talian internet ke sekolah-sekolah melalui syarikat telekomunikasi YES; dan
3) Struktur 1BRIS yang melibatkan menara telekomunikasi yang dibina untuk menyokong 4G oleh syarikat telekomunikasi YES untuk tujuan komersil.
Itulah apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Menteri Pendidikan dan menandatanginya kontrak 1BestariNet. Jika kita membaca butiran kontraknya anda tak mungkin menemui rasuah di dalamnya kerana semua teknikal dan perjanjian itu dalam pengetahuan pegawai yang membuat kontrak itu.
Kerana itu kes 1BestariNet ini berlarutan melebihi 10 tahun kerana sentimen musuh perniagaan dan politik.
Isu-isu yang dibangkitkan Dr Maszlee seperti sewaan tapak tanah (Struktur 1BRIS), Frog VLE, caj elektrik dan beberapa isu lagi hanyalah isu teknikal. YTLC membangunkan semua struktur dan menanggung kos namun menetapkan sewaan di 1,142 tapak hak milik PTP mengikut kadar komersil (RM3,000 Bandar; RM2,000 Luar Bandar) akan menaikkan kos YTLC. Ia perlu diperhalusi dan perundingan secara ‘win win’.
Isu 1BestariNet adalah isu peribadi Dr Mazlee dengan Tan Sri Muhyiddin. Jika benar 1BestariNet bermasalah ada unsur rasuah mengapa dalam siri pendedahan Dr Maszlee tidak menyebut Dato’ Seri Mahdzir Khalid yang menandatangani kontrak? Mengapa Dr Maszlee tidak menyalahkan Mahdzir Khalid?. Sedikitpun beliau tidak menyerang Mahdzir tetapi hanya menyebut Tan Sri Muhyiddin punca beliau dipecat sebagai Menteri Pendidikan. Logik apa Dr Maszlee pakai?
Namun bagi Dr Maszlee Malik Menteri Pendidikan PH 0.1 ketika itu dia melihat projek 1BestariNet dengan cara mencari kesalahan YTLC walaupun dia tahu setiap skop kerja, spesifikasi dan kontrak ditentukan oleh Kementerian Pendidikan. Pegawai-pegawai Kementerian mempunyai kuasa memasukkan terma sepatutnya dalam kontrak. Dr Maszlee hanya mahu kontrak pembekalan internet ke sekolah-sekolah dibukakan untuk syarikat-syarikat telekomunikasi yang lain juga dan tidak dimonopoli oleh hanya sebuah syarikat sahaja. Hakikatnya ia bukan soal monopoli tetapi YTLC telah membangunkan semua projek ini dari awal.
Laporan Public Accounts Committee (PAS) Parlimen ke-13 bagi tahun 2015 dan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 1 khusus berkaitan kontrak mega 1Bestarinet juga jelas menyebut butiran kelemahan pegawai Kementerian Pendidikan dalam menyediakan kontrak kepada YTLC. YTLC hanya melaksanakan kontrak ditetapkan kepadanya. Dari segi kos ketika tu ia bersesuaian
Fasa 2 projek mega 1Bestarinet tamat pada 30 Jun 2019 adalah bawah kuasa Dr Maszlee Malik yang tidak mahu menyambungnya dan melantik secara interim 6 kepada tiga syarikat penyedia perkhidmatan internet (ISP) iaitu Telekom Malaysia Berhad, Celcom Axiata Berhad dan Maxis Broadband Sdn Bhd mulai 1 Julai 2019. Dr Maszlee hanya tidak melantik Berjaya Group pembiaya kempennya tetapi bukan rahsia hubungan Dr Maszlee dengan Tan Sri Vincent Tan ketika sebagai Menteri Pendidikan.
Terdapat sumber mendedahkan disebalik semua isu YTL ini dalangnya ialah Tan Sri Vincent Tan Berjaya Group yang memusuhi YTL kerana perebutan projek di Johor seperti projek pembinaan laluan kereta api laju (HSR) antara Kuala Lumpur – Singapura dan Projek Autonomous Rail Rapid Transit (ART). Tidak hairan jika Dr Maszlee Malik sangat beria-ia bermain dengan isu 1BestariNet zaman Muhyiddin tetapi tidak berminat dengan Mahdzir Khalid 1BestariNet Fasa II.
Ia bukan kali pertama Tan Sri Vincent Tan melakukannya kerana ia juga berlaku terhadap Tan Sri Robert Tan pengasas SPANCO yang disiasat SPRM dan kemudiannya didakwa di mahkamah.
Apakah Dr Maszlee membaca kontrak perjanjian KPM dengan YTLC Projek 1BestariNet lebih 200 muka surat itu? Apa saja yang Dr Maszlee tidak bersetuju sebagai Menteri Pendidikan ketika itu beliau ada KSU dan pegawai kementerian yang membuat perjanjian itu.
Mungkinkah rakyat perlu melihat sendiri surat Setuju Terima (LOA) yang ditandatangani oleh Dato’ Seri Mahdzir Khalid dan butiran perjanjiannya agar rakyat melihat sendiri apa yang kementerian pendidikan perakukan kepada YTLC?
Kes 1BestariNet sudah lebih10 tahun. Jika Tan Sri Muhyiddin menerima rasuah begitu juga Dato’ Seri Mahdzir Khalid Menteri Pendidikan sudah lama mereka didakwa kerana kes itu. Namun ia tidak berlaku. Kes ini sepatutnya diumumkan selesai kerana persepsi buruk boleh menjejaskan saham di Bursa Malaysia.